Thursday, February 23, 2006

NST: Jangan Cabar Umat Islam

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa amat terkesan dengan tindakan angkuh pihak akhbar New Straits Times (NST) yang sehingga ke hari ini masih bermain-main dengan isu karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w.

NST seharusnya sedar bahawa apa jua karikatur, tulisan malah perkataan lisan atau bahasa isyarat yang dipergunakan bagi mengambarkan atau bertujuan menghina atau menyamakan Nabi Muhammad dengan apa jua makhluk atau bentuk adalah satu kesalahan bagi umat Islam.

DPPWP bersama dengan umat Islam lain dinegara ini berasa terpanggil untuk memberikan pandangan dan menyeru agar pihak NST memohon maaf kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

Karikatur berkenaan yang tidak mengandungi lukisan Rasullullah tetapi memaparkan seorang pelukis duduk bersebelahan satu papan notis bertulis 'Caricatures of Muhammad While You Wait' disiarkan dalam ruangan Life & Times Isnin lalu dan disiarkan semula di muka 2 NST Rabu dalam penjelasannya bertajuk : What the NST says.

Selain itu DPPWP juga mendapati bahawa karikatur itu masih dipaparkan dalam laman web akhbar berkenaan dan diselitkan dalam artikel yang bertajuk "What the NST says". DPPWP berharap agar pihak pihak NST menghormati pandangan orang lain dan jangan bermain api dengan perasaan umat Islam.

Sesiapa jua akan marah jika pemimpin agung yang mereka senangi dan kasihi dipermainkan sedemikian. Bukan setakat gambar, perkataan juga mengambarkan sejuta makna yang hakikatnya NST perlu bersikap bertanggungjawab dalam hal ini. NST harus bersikap berani untuk mengakui kesalahan dan tidak bertindak membabi buta, pekak dan bodoh sombong dengan idealisme kebebasan media tanpa batasan. Najis yang mereka palitkan dalam diari kemarahan umat Islam harus dibersihkan segera sebelum gelombang kebangkitan umat Islam meranapkan masa depan akhbar NST itu sendiri.

DPPWP menyokong keputusan Dewan Pemuda PAS Pusat yang turut mendapat restu dari PAS Pusat agar melakukan Demontrasi Aman dihadapan bangunan NST di bangsar. DPPWP berasa tindakan itu adalah wajar dan sesuai bagi melayani sikap angkuh NST yang telah diberikan amaran awal sebelum ini.

DPPWP juga mengesa agar seluruh rakyat Malaysia memboikot akhbar NST sehinggalah akhbar ini memohon maaf atas kedegilan dan kesombongan mereka. Disamping itu DPPWP juga mengesa agar semua umat Islam dan rakyat Malaysia yang sedar tentang isu ini agar menulis memorandum atau surat dan hantar atau faks kepada Ketua Pengarang akhbar ini melalui alamat berikut;

DATUK HISHAMUDDIN AUN
Ketua Pengarang Kumpulan NST,
Balai Berita 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar,
Wilayah Persekutuan, MALAYSIA
Tel: 603-2056-9441/2
Faks: 603-2282-1434

Sekali lagi DPPWP menyeru agar umat Islam dapat hadir ke Perhimpunan Aman Bagi Mendesak NST Memohon MAAF dan MENARIK BALIK KARIKATUR yang disiarkan sebelum ini. Perhimpunan Aman ini akan berlangsung pada 24 Februari 2006 (Jumaat) selepas solat Jumaat dihadapan bangunan NST di bangsar.

Birruh, Biddam, Nafdhika Yaa Allah
Birruh, Biddam, Nafdhika Yaa Rasulullah


Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com