Friday, February 24, 2006

Hina nabi: Pemuda PAS Wilayah lapor polis terhadap NSTP

Oleh Anis Nazri KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Ekoran keengganan pihak editorial New Straits Times Press (NSTP) memohon maaf atas penyiaran kartun yang didakwa menghina Nabi Muhammad s.a.w., Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Jalan Stadium, petang semalam.

Laporan tersebut dibuat Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Ridhuan Mohd Nor, bersama timbalan dan setiausahanya, Kamaruzzaman Mohamad dan Khuzaini Abdul Rahman.

Menurut Ridhuan, tindakan NSTP itu dilihat sebagai cuba mengeruhkan lagi keadaan umat Islam yang masih marah dengan kebiadapan akhbar Denmark berhubung karikatur menghina nabi, baru-baru ini.

Justeru, katanya Pemuda PAS Wilayah mendesak kerajaan agar mengambil tindakan tegas terhadap NSTP, sepertimana yang dikenakan ke atas Sarawak Tribune yang ditarik permitnya, berhubung isu yang sama.

"Kita mahu kerajaan tegas supaya tidak ada lagi akhbar-akhbar lain yang akan membuat kartun, tulisan atau apa juga bahan yang boleh mengaitkan dianggap menghina mana-mana nabi," tegas beliau ketika menemui wartawan di pekarangan balai polis.

Beliau juga meminta kerajaan tidak bersikap 'double standard' dalam mengambil tindakan ke atas mana-mana akhbar yang didapati melanggar sensitiviti dan kepentingan masyarakat.

"Jika kerajaan boleh sekat permit akhbar-akhbar lain seperti Detik, majalah Tamadun, dan sebagainya, mengapa tidak bertindak sama terhadap akhbar-akhbar ini?" soal beliau lagi.

Dalam pada itu, Ridhuan turut mencadangkan kepada kerajaan agar mengadakan taklimat mengenai Islam kepada pengamal media, sama ada yang Islam atau tidak, agar lebih sensitif dan menghormati agama masing-masing.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com