Tuesday, February 28, 2006

KENAIKAN TARIF ELEKTRIK : BUKTI KERAJAAN TIDAK PRIHATIN

Kenyataan Media DPPP :

Hari ini sekali lagi rakyat dibuktikan bahawa pilihan mereka untuk memberi mandat besar kepada UMNO/BN di dalam pilihanraya yang lalu adalah satu kesilapan. Natijahnya rakyat kini berhadapan dengan keputusan dan tindakan kerajaan yang membelakangkan kepentingan mereka. Terbaru, rakyat dibebankan pula dengan keputusan ‘bijak dan prihatin’ kerajaan untuk menaikkan tarif harga elektrik. Bagi Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) walau apa pun alasan yang diberikan tindakan menaikkan tarif harga elektrik ini merupakan satu bentuk kezaliman. Disaat rakyat menantikan tindakan proaktif kerajaan bagi menangani permasalahan inflasi yang cukup membebankan ketika ini, pengumuman kenaikan tarif harga elektrik adalah khabar yang cukup mengecewakan.

Pendirian DPPP secara tegasnya menolak kenaikan ini. Bagi DPPP keputusan dan tindakan ini merupakan bukti kegagalan kerajaan pimpinan UMNO/BN dalam mentadbir urus negara. Tindakan ini juga membuktikan kegagalan kerajaan dalam mengurus hasil mahsul negara untuk kepentingan rakyat. Malah lebih daripada itu tindakan ini juga membuktikan kegagalan dasar-dasar kerajaan yang selama ini begitu dibanggakan.

Pembuktian ini juga secara jelasnya menunjukkan bahawa orientasi kerajaan kini tidak lagi kepada usaha untuk memberi kemudahan dan kesenangan kepada rakyat tetapi lebih kepada untuk ‘mengenyang dan membuncitkan’ segelintir mereka yang dianugerahkan dengan projek-projek milik rakyat melalui dasar penswastaan.

Jelas sekali kini kebimbangan dan kegelisahan rakyat terhadap perlaksanaan beberapa dasar-dasar kerajaan akan memberi impak negatif kepada mereka adalah berasas. Perkembangan muktahir yang memperlihatkan kerajaan kerap kali membelakangkan kepentingan rakyat dalam keputusan dan tindakan mereka adalah bukti yang jelas. Dalam pelbagai isu seperti kenaikan tol, kenaikan harga minyak, kenaikan tarif harga air dan banyak lagi rakyat bukan sahaja dinafikan kepentingan mereka malah ditindas dan dizalimi atas nama demi kepentingan negara.

Begitu juga halnya bagi perkara yang berbangkit berkenaan pengagihan hasil kekayaan negara, hak dan kepentingan rakyat seringkali dinafikan. Malah dalam banyak hal kerajaan dilihat berlaku tidak adil dalam pengagihan kekayaan ini. Sebagai contoh kerajaan dilihat begitu ‘prihatin’ menggunakan jutaan ringgit duit rakyat bagi membail out syarikat-syarikat milik kerajaan yang telah ditenatkan oleh mereka yang sepatutnya memajukannya. Malah bukanlah menjadi rahsia lagi bagaimana jutaan ringgit keuntungan Petronas seringkali disedut bagi menyelamatkan segelintir mereka ini.

Lihat sahaja bagaimana projek Menara Berkembar diselamatkan sehinggakan Petronas yang tidak pernah terlibat didalam sektor hartanah terpaksa melakukannya. Tetapi mengapa di dalam hal yang melibatkan kelansungan hidup rakyat yang kian hari kian terhimpit dalam arus pembangunan, sikap prihatin kerajaan tidak wujud.

Mengapa apabila rakyat membangkitkan tentang keuntungan Petronas yang boleh diagihkan bagi membantu mereka kerajaan ‘menjegil mata’ dan memberikan pelbagai alasan. Bagi DPPP ini adalah suatu yang amat mengecewakan. Sebuah kerajaan yang dikatakan menepati aspirasi rakyat sewajarnya melihat kepentingan rakyat sebagai perkara utama, bukan meletakkannya ditempat terbawah di dalam prioriti mereka.

Inilah persoalan yang menghantui rakyat ketika ini. Persoalan tentang dimana jutaan ringgit duit rakyat dari cukai yang sentiasa meningkat, dari tol yang tidak pernah turun, dari keuntungan Petronas yang dibangga dan diuar-uarkan, disaat dan ketika rakyat begitu memerlukannya ? dan persoalan yang lebih penting kini ialah mengapa...mengapa kerajaan yang mereka dokong ketika melalui saat-saat getir ekonomi dan politik kini mengkhianati mereka sendiri ?

Atas kesedaran ini DPPP mengajak rakyat untuk bersama-sama bangkit untuk mempertahankan hak. DPPP mengajak rakyat untuk mempamerkan batahan mereka terhadap tindakan kerajaan menaikkan tarif harga elektrik. Gantungkan banner, edarkan risalah, kirimkan kad, poskad, email, telegram tujukan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri sebagai ekspresi bantahan kita terhadap tindakan zalim ini. Suara kegelisahan rakyat perlu dijeritkan kepada pemerintah yang pekak dan buta akan nasib dan keperluan rakyatnya.

Sekali DPPP pertegaskan tindakan ini adalah zalim. Maka DPPP mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menjadi balaci murahan kepada kerajaan untuk tampil dengan segala alasan, bukti dan sebagainya untuk mewajarkan kenaikan tarif elektrik ini.

“GERAKAN RAKYAT MEMBANTAH KENAIKAN TARIF HARGA ELEKTRIK”

Mazlan bin Aliman
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com