Tuesday, February 07, 2006

DPPWP Anjur Perarakan Aman Ke Kedutaan Denmark

KENYATAAN MEDIA (07 Februari 2006)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengutuk tindakan tidak bertamadun kerajaan Denmark yang sehingga ke hari ini masih gagal dalam memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas kebiadapan media massa mereka dalam menyiarkan kartun-kartun yang menghina Nabi Muhammad s.a.w.

DPPWP bersama merasai kemarahan seluruh umat Islam di seluruh pelusuk dunia yang baran kerana gurauan sarcartic akhbar Jyllands-Posten yang menyiarkan kartun tersebut sejak bulan September tahun lalu. Umat Islam turut terkilan dengan ulasan Perdana Menteri Denmark, Anders Fogh Rasmussen iaitu;

"kerana adanya kebebasan akhbar dalam bersuara, Kerajaan Denmark tidak dapat mempengaruhi media. Oleh itu, Kerajaan dan negara Denmark tidak dapat bertanggungjawab atas apa yang diterbitkan oleh media independen,"

Kata-kata ini amat menyakitkan hati kerana Kerajaan Denmark masih berdegil mempertahankan akhbar tempatan mereka yang bersikap kurang ajar terhadap umat Islam. Walaupun pihak akhbar berkenaan telah meminta maaf tapi, api kemarahan umat Islam masih belum padam. Umat Islam mahu pihak Kerajaan Denmark bertanggungjawab dan bersikap lebih tegas dengan mengharamkan akhbar berkenaan serta meminta maaf kepada seluruh umat Islam.

Kerajaan Denmark turut bertanggungjawab terhadap kesilapan yang dilakukan oleh rakyat mereka. Perkara yang sama harus dilakukan oleh pihak Kerajaan Malaysia akibat kebiadapan akhbar Sarawak Tribune yang turut menyiarkan kartun tersebut bagi edaran akhbar di negeri Sarawak.

Sarawak Tribune, akhbar berbahasa Inggeris tempatan menyiarkan karikatur kontroversi tersebut melalui ruangan beritanya pada muka surat 12 baru-baru ini. Apakah niat mereka? kenapa terbitkan kartun itu?

Malaysia sebagai sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai kaum dan agama tidak pernah membenarkan mana-mana pihak menghina dan mempersenda agama anutan orang lain. Akhbar ini telah bertapak dinegara ini sejak 8 Februari 1948, mereka seharusnya matang dalam memilih berita untuk melariskan jualan. Perkara sensitif seperti ini seharusnya sedia diketahui dan di fahami oleh pihak akhbar berkenaan dan bagi DPPWP, tiada maaf bagi mereka.

Kerajaan Malaysia harus mengambil tindakan tegas terhadap akhbar ini dengan menamatkan lesen penerbitan mereka. Tindakan pengarang berita tersebut, Lester Melanyi, 41, meletak jawatan belum cukup untuk meredakan kemarahan umat Islam di Malaysia. Jika hal ini diketahui oleh Umat Islam di seluruh dunia, pastilah kewibawaan Malaysia sebagai Pengerusi OIC akan bergoyang.

Perdana Menteri (PM) harus bersikap tegas dan tidak sekadar menyalahkan Kerajaan Denmark sahaja, kerana perkara yang sama telah terkena batang hidung sendiri. Sudah tiba masanya PM bertegas terhadap golongan yang berani menghina Rasulullah dan Umat Islam. Jika sebelum ini kita dicabar oleh 9 orang Menteri kabinet yang ingin meminda Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, kini gimik kartun pula yang bermain didada media massa. PM juga harus berani untuk meminta maaf kepada umat Islam diseluruh dunia kerana kegagalan beliau menghalang Sarawak Tribune menerbitkan kartun itu dari awal lagi.

DPPWP menyokong kebebasan akhbar dan hak untuk bersuara tapi bukan dalam cara sebegini. Penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w bukanlah perkara kecil yang harus didiamkan. Kebebasan bukan sekadar hak tapi ia juga adalah tanggungjawab. Dan Sarawak Tribune harus bertanggungjawab.

DPPWP menyeru kepada semua masyarakat Sarawak agar memboikot akhbar tersebut. Selain itu, DPPWP juga berharap agar rakyat Malaysia, para peniaga dan pengguna bersama dengan masyarakat Islam di seluruh dunia memboikot barangan keluaran dari Negara Denmark. Selagi Kerajaan Denmark enggan meminta maaf secara terbuka dan mengharamkan akhbar Jyllands-Posten, maka umat Islam tidak akan bertolak ansur.

Pada Jumaat lalu (3 Februari 2006) Dewan Pemuda PAS Pusat telah menghantar memorandum kepada kedutaan Denmark, namun hingga kini tiada sebarang tindakan positif yang mereka lakukan. Oleh itu pada Jumaat ini (10 Februari 2006), DPPWP akan menganjurkan Perarakan Aman dari Masjid Kg. Baru ke Kedutaan Denmark di Wisma Denmark, Jalan Ampang. Perarakan ini akan bermula sejurus selepas solat Jumaat dan diakhiri dengan satu Demontrasi Aman di hadapan Kedutaan Denmark.

DPPWP menyeru kepada semua pemimpin umat Islam dan rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan agar membuang pakaian Politik dan Jubah NGO mereka agar turut sama dalam perhimpunan ini. DPPWP menjemput semua Persatuan dan kumpulan serta individu yang berasa bertanggungjawab dalam mempertahankan maruah Nabi Muhammad Bin Abdullah yang amat kita cintai. Demi Allah yang mencintai RasulNya, kita akan bersama bergandingan tangan dan menunjukkan kepada pihak Kerajaan Denmark dan rakan sekutu mereka bahawa umat Islam tidak lemah.

DPPWP berharap agar perarakan dan perhimpunan aman ini tidak diganggu oleh pihak Polis. Misi kita adalah untuk keamanan, sama seperti Demontrasi pada tahun lalu, iaitu Demontrasi membantah tindakan tentera Amerika yang mencampakkan Al-Quran ke dalam tandas.

DPPWP menyeru kepada semua agar membawa Placard, Banner dan Sepanduk bagi menyatakan rasa kekesalan kita pada kebiadapan Akhbar dan kedegilan Kerajaan Denmark.

Kerana Allah, Demi RasulNya, sila sebarkan maklumat ini....salam perjuangan untuk semua,

Riduan Mohd Nor
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com