Tuesday, February 07, 2006

MEMORANDUM MENDESAK TINDAKAN SUHAKAM TERHADAP USAHA MENAFIKAN HAK MAHKAMAH SYARIAH DAN UMAT ISLAM MELALUI PINDAAN PERKARA 121(1A) PERLEMBAGAAN PERSEKU

Kepada;

YBhg Tan Sri Abu Talib Othman,
Pengerusi SUHAKAM,
Jalan Raja Laut,
KUALA LUMPUR.

YBhg. Tan Sri,

MEMORANDUM MENDESAK TINDAKAN SUHAKAM TERHADAP USAHA MENAFIKAN HAK MAHKAMAH SYARIAH DAN UMAT ISLAM MELALUI PINDAAN PERKARA 121(1A) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan sebesar-besar kebimbangan di atas percubaan pihak-pihak tertentu yang mendesak kerajaan supaya meminda Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Mahkamah Sivil mencampuri urusan Mahkamah Syariah.

DPP Pusat sangat menyedari kesan-kesan daripada pindaan ini sekiranya ia benar-benar terjadi di mana hak Mahkamah Syariah sebagai sebuah mahkamah dalam Persekutuan ini untuk menjaga urusan orang-orang Islam akan terancam. Perkara 121(1A) yang diwujudkan oleh Parlimen pada 1988 adalah untuk mengatasi masalah campur tangan Mahkamah Sivil terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah, sekali gus untuk mengukuhkan Mahkamah Syariah di negara ini. Langkah pihak-pihak tertentu yang mahu Perkara 121(1A) dipinda adalah langkah mundur kebelakang.

Sebaliknya, jika pindaan itu dibuat, maka ia akan menjatuhkan martabat dan status sistem kehakiman syariah serta meletakkan Mahkamah Syariah di bawah Mahkamah Sivil seperti zaman penjajah dahulu. Kita tidak boleh terkeliru dengan kes M Morthy yang cuba disalah fahamkan oleh pihak tertentu sebagai mengancam hak orang bukan Islam, tetapi harus melihat bagaimana kes Natrah yang berlaku pada zaman penjajah yang akhirnya membawa kepada rusuhan kaum dan kemusnahan harta benda awam.

DPP Pusat menolak anggapan liar sesetengah pihak yang menganggap bahawa Perkara 121(1A) telah mengancam hak orang bukan Islam, kerana Perkara 8 dengan jelas menyebutkan bahawa orang bukan Islam bebas mengamalkan agama masing-masing, kecuali tidak boleh menyebarkan kepada orang Islam. Isu Morthy yang dijadikan asas krisis ini tidak boleh dipandang dari aspek hak orang bukan Islam mengakses Mahkamah Syariah semata-mata, tetapi bagaimana Mahkamah Syariah mengaplikasikan undang-undang berasaskan fakta untuk menentukan apakah Morthy beragama Islam ketika beliau meninggal dunia. Ia bukan satu bentuk ancaman terhadap hak orang bukan Islam.

DPP Pusat sebaliknya mendesak Suhakam supaya mengambil kira beberapa aspek tentang hak-hak umat Islam yang telah dicabul dan akan tercabul sekiranya Perkara 121(1A) dipinda, termasuk juga hak-hak awam yang mungkin turut menerima kesan jika usaha-usaha pihak tertentu ini diteruskan. DPP Pusat mahu Suhakam mempertimbangkan perkara-perkara berikut:

i. Hak Mahkamah Syariah sebagai satu sistem kehakiman yang diiktiraf oleh Perlembagaan akan terpinggir sekiranya Mahkamah Sivil diberi kuasa untuk campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Syariah;
ii. Umat Islam dalam apa keadaan sekalipun mesti diberikan hak menguruskan soal-soal agama mereka dalam kerangka kehakiman sendiri, dan kehakiman Islam mestilah mempunyai taraf yang tinggi dan tidak boleh diganggu-gugat oleh mahkamah lain;
iii. Tindakan menyekat kebebasan Mahkamah Syariah boleh membangkitkan rasa tidak puas hati dan memungkinkan wujud anasir-anasir negatif bagi mengembalikan hak Mahkamah Syariah; dan
iv. Percubaan untuk menundukkan Mahkamah Syariah di bawah Mahkamah Sivil boleh mengundang krisis agama dan perkauman yang boleh menjejaskan hak-hak awam di negara ini;

DPP Pusat juga menuntut supaya hak-hak asasi umat Islam dalam mengamalkan ajaran agamanya secara bebas dan aman diberikan perhatian oleh Suhakam. Antara isu-isu yang mesti bagi memastikan hak-hak umat Islam dibawah diberikan sepenuhnya sebagai memenuhi kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kebebasan mengamalkan agama secara aman dan bebas di negara ini, iaitu:

i. Hak orang Islam untuk mengamalkan ajaran Islam di negara ini sebenarnya tidak bebas mengikut pengertian agama Islam kerana disekat oleh kerajaan, termasuk hak mengamalkan undang-undang Islam;
ii. Kedudukan sistem kehakiman syariah yang masih dianggap 'kelas dua' tanpa penyalarasan, penyeragaman, ketiadaan Peguam Syariah Negara dan seumpamanya;
iii. Bidang kuasa jenayah Islam yang masih tunduk kepada Kanun Jenayah tanpa mengikut kehendak syarak yang sebenar;
iv. Keluasan perlaksanaan undang-undang Islam yang masih berlegar di sekitar undang-undang keluarga dan mal sahaja;
v. Mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab asasi umat Islam tetapi banyak undang-undang yang menyekat umat Islam daripada melaksanakan tanggungjawab mereka seperti ISA, Akta Polis, Akta Cetak dan lain-lain, termasuk keputusan Kabinet yang menghalang JAWI menubuhkan 'pasukan pengintip' bagi mencegah maksiat; dan
vi. Berbanding dengan bukan Islam yang diberikan hak bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing secara aman, usaha-usaha untuk mengamalkan Islam secara aman di negara ini sering dikaitkan dengan tuduhan-tuduhan seperti jumud, taksub, pengganas dan sebagainya, sehingga Islam tidak dapat diamalkan dengan bebas di negara ini.

Berasaskan perkara-perkara di atas, DPP Pusat mendesak satu tindakan proaktif Suhakam untuk memastikan hak-hak umat Islam tidak dicabul termasuk oleh desakan satu kumpulan rakyat yang mahukan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Sekian, terima kasih.

Yang Menjalankan Amanah,



SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com