Friday, January 20, 2006

Isu M.Moorty:IKIM bantah pindaan keatas Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan

Image hosted by Photobucket.com


Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) tidak setuju Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah dipinda.

Ketua Pengarahnya Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas yang mengulas cadangan beberapa pihak supaya dibuat perubahan pada Perlembagaan Persekutuan terutamanya berkaitan undang-undang yang membabitkan hak bukan Islam berikutan isu kematian pendaki Gunung Everest Sarjan M. Moorthy menegaskan IKIM berpandangan bahawa Perlembagaan Persekutuan sudah lengkap dan tidak perlu dipinda lagi.

"Jika ada keperluan untuk membuat pindaan, adakah undang-undang atau perlembagaan itu sendiri yang perlu dipinda?

"Atau adakah pemahaman undang-undang yang perlu memberikan gambaran secukupnya dan jelas difahami oleh pihak berkuasa yang berkenaan?" tanya beliau semasa persidangan media di institut berkenaan di Kuala Lumpur Khamis.

Sementara itu dalam perkembangan lain sepuluh menteri Kabinet bukan Islam mengemukakan memorandum bersama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta beliau menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama.

Isu Sarjan M. Moorthy atau Muhamad Abdullah menjadi polimek bila berlaku perebutan mayatnya setelah meninggal dunia pada 20 Disember lalu kerana memeluk Islam tanpa pengetahuan isterinya S. Kaliammal.

Akhirnya mayatnya dikebumikan oleh JAWI pada 28 Dis berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bahawa beliau adalah seorang Islam dan selepas Mahkamah Tinggi memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk campurtangan dalam kes berkenaan.

Syed Ali Tawfik berkata Malaysia sudah merdeka hampir 50 tahun dan mengapa hanya sekarang seolah-olah ada masalah dengan perlembagaan itu.

Beliau berkata sekiranya perlu dilakukan sebarang pindaan, kesilapan dalam perlembagaan itu perlu ditentukan terlebih dahulu.

Beliau berkata perlembagaan Malaysia berdasarkan agama iaitu percaya kepada Tuhan.

"Sekiranya orang itu percaya bahawa agama mereka sudahpun lengkap, maka tidak perlu membuat sebarang pindaan pada agama itu," katanya.

Syed Ali Tawfik, yang dilantik mengetuai IKIM enam bulan lepas, berkata institut berkenaan akan mengadakan dialog tertutup tidak lama lagi bersama semua pihak berkuasa berkaitan yang terbabit dalam kancah itu.

Bernama melaporkan sepuluh menteri Kabinet bukan Islam mengemukakan memorandum bersama kepada Perdana Menteri ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting; Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik; Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok.

Yang lain ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn; Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Maximus Ongkili; Menteri Pelancongan Datuk Dr Leo Michael Toyad dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Peter Chin Fah Kui.

Menurut Dr Ongkili, memorandum diserahkan kepada Perdana Menteri pada mesyuarat Kabinet Rabu.

"Cadangan itu akan dikaji oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai undang-undang, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad; dan Peguam Negara. Mereka akan membuat perakuan wajar untuk tindakan lanjut," katanya .

Dr Ongkili berkata ini menunjukkan bahawa kerajaan bersifat terbuka dan sedia mempertimbang pandangan orang ramai berhubung soal perundangan.

Beliau tidak menyatakan kandungan cadangan dan perakuan.

Beberapa menteri lain, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan mereka menandatangani memorandum namun enggan menyatakan lebih lanjut dan menegaskan mereka tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas perkara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengulas hal berkenaan baru-baru ini berkata perkara pertukaran agama perlu dinyatakan dengan jelas dalam perlembagaan dan undang-undang lain bagi mengelak kekeliruan di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau bagaimanapun berkata, sebarang tindakan yang akan diambil mengenai perkara itu perlu dibuat dengan berhati-hati agar tidak menjejas kepercayaan sebarang kaum atau pengikut sesuatu agama.

Undang-undang Syariah hak kita
bukan hak mereka untuk campurtangan!!!


Jom kita Join Perarakan aman sebagai menunjukan bantahan kita:
Tempat :Dari Masjid Negara-Suhakam
Tarikh : 20 Januari 2006
Masa : Selepas solat Jumaat

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com