Saturday, December 31, 2005

SIAPA DATO’ KAKI PEREMPUAN NI?

Kuala Lumpur, 31 Disember 2005: Tak senonoh dan tak sedar diri! Itulah yang akan terpacul pada setiap mulut mereka yang beriman bila mendengar berita penemuan seorang ahli politik yang bergelar Dato’ oleh pihak Polis ketika menyerbu sebuah pusat hiburan di Subang Jaya.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melihat bahawa kejadian ini adalah satu insiden yang memalukan kerana ketika ditemui Dato’ ini dikelilingi oleh wanita-wanita GRO yang disyaki pelacur. Serbuan ke atas Kelab Malam itu juga pastinya mencabar kewibawaan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Dato' Mohd Arif Bin Ab. Rahman kerana kegagalan beliau dalam mengawasi aktiviti hiburan dan maksiat di dalam kawasannya.

Bukanlah maksud DPPWP untuk sengaja campurtangan dalam urusan tadbir MPSJ, tetapi kami juga difahamkan bahawa ini bukan kali pertama Kelab ini diserbu, ini adalah kali ke-6!. Setelah 6 kali serbuan dan tangkapan dibuat, mengapa Kelab tersebut masih beroperasi? DPPWP berharap agar pihak MPSJ bertindak tegas terhadap kelab ini dan menutup premis ini kerana telah disalahgunakan sebagai pusat maksiat.

Setakat ini DPPWP, tidak menerima sebarang laporan bahawa Dato’ yang juga ahli politik ini ada kaitan dengan Parti Islam Semalaysia atau Parti Keadilan Rakyat. DPPWP yakin tiada ahli politik yang PAS dan PKR yang terlibat dalam skandal ini. Jika ada, DPPWP tidak akan berdiam dan membiarkan perkara ini, DPPWP akan memastikan orang tersebut menerima hukuman yang sepatutnya dari pimpinan tertinggi sehingga ia insaf akan kesalahannya.

Dan DPPWP mengesa agar gelaran Dato’ terhadap orang yang dimaksudkan ditarik balik kerana umum mengetahui bahawa gelaran Dato’ ini adalah satu penghormatan yang harus dijaga imejnya. Kita tidak mahu orang ini mengunakan kelebihan gelaran Dato’ yang dimiliki sebagai modal untuk dia bersukaria bersama GRO atau pelacur di pusat hiburan-Kelab Malam sebegini.

DPPWP mengakui bahawa terlalu banyak laporan yang diterima tentang adanya orang-orang kenamaan yang bergelar Dato’, Dato’ Seri, Datuk, Datuk Seri malah Tan Sri yang suka berhibur di Kelab Malam bagi merehatkan diri. Cuma kami berharap agar peluang berhibur itu tidak disalahgunakan dengan mengunjungi pusat hiburan yang dipenuhi arak dan wanita-wanita GRO yang boleh menimbulkan kecurigaan dan fitnah. Orang-orang kenamaan ini harus menjaga tingkah laku mereka kerana mereka adalah ‘public figure’.

Dan tidak keterlaluan jika DPPWP, mencadangkan kepada Majlis Raja-Raja agar satu kod etika khas diwujudkan bagi memastikan gelaran khas orang-orang kenamaan terpelihara, jika perkara ini belum diwujudkan. Maknanya, perlu ada satu garis panduan agar Gelaran mulia yang mereka miliki ini tidak disalahgunakan dan boleh ditarik bila-bila masa jika mereka melanggar Kod etika termasuklah melakukan jenayah atau melakukan pecah amanah dan maksiat sebegini.

Tindakan tegas harus diambil agar Gelaran sebaik ini tidak dijadikan batu loncatan untuk orang-orang kenamaan ini memburukkan imej dan kenamaan mereka serta negara yang mengiktiraf mereka.

Selain itu, DPPWP juga berharap agar adanya satu pendedahan rasmi dari pihak Polis dan secara telus mereka harus menyatakan siapakah Dato’ itu. DPPWP berharap agar pihak PDRM tidak bermain silap mata, dengan berpura-pura tidak tahu. Bagaimana pokok boleh bergoyang jika tiada angin yang bertiup, dan perkara ini bukanlah perkara baru.

Kepada orang-orang kenamaan yang diberikan mandat dalam meraih kepercayaan masyarakat dan pimpinan negara, DPPWP berharap agar mereka menunjukkan akhlak mulia dan menjadi contoh kepada anggota masyarakat lainnya.

Riduan Mohd Nor
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Friday, December 30, 2005

PERUTUSAN SEMPENA TAHUN BARU 2006

KENYATAAN MEDIA (31 DISEMBER 2006)

Menjelang tahun baru 2006, pasti gempita terasa di setiap ceruk massa yang menguliti kehidupan tiap warga dunia. Di Kotaraya Metropolitan seperti Kuala Lumpur pasti menjadi hangat dengan pesta dan pelbagai wahana sambutan.

Dalam pada itu, masih ada rasa gusar dihati setiap rakyat yang inginkan kesejahteraan dan keamanan. Berbekalkan azam baru atau azam lama yang di "rebranding'kan", semua rakyat melangkah dengan penuh harapan agar tahun 2006 adalah tahun bertuah mereka, bak kata orang cina 'ada ong'.

Ya! kita mahu tahun 2006 adalah tahun bertuah bagi semua orang dan bukannya tahun yang ada 'ongkos'. Jangan pula kita biarkan poket rakyat dimiskinkan dengan desakkan ekonomi massa. Cukuplah jika tahun 2005 kita saksikan begitu banyak kenaikan harga barangan pengguna seperti minyak dan barang keperluan asasi.

Kita berharap agar prestasi ekonomi massa dapat diperbaiki dengan menjaga kepentingan rakyat tempatan. Kita harap agar kerajaan yang ada tidak merancang sebarang pembangunan yang akhirnya akan menyebabkan rakyat menjadi korban.

Diperingkat Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), kami mewakili para penyokong dan warga kota yang inginkan kemajuan yang positif berharap agar pihak Kerajaan sensitif terhadap pembangunan semasa. Antara perkara yang DPPWP ingin sebutkan di sini adalah;

1. Kerajaan yang ada harus peka terhadap kesan kenaikkan harga minyak berdasarkan pengalaman 2005, oleh itu DPPWP berharap agar kerajaan BN tidak bermain politik dengan mengumumkan kenaikkan harga minyak secara mengejut seperti masa lalu. Pertimbangan yang wajar perlu dibuat dengan mengambil kira pandangan dan kesempitan hidup rakyat.

2. Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna haruslah bertanggungjawab dan peka terhadap keperluan asas rakyat. Penguatkuasaan undang-undang haruslah tegas terhadap penjenayah perdagangan yang banyak menyeludup dan menyembunyi barangan utama pengguna hingga membebankan rakyat. Penguatkuasaan tanda harga dan logo halal harus dititik beratkan.

3. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pula haruslah secara serius menangani aspek kemasukan pekerja asing dari luar Negara. DPPWP dimaklumkan bahawa masih ramai lagi warga Negara asing yang berada dinegara ini secara haram. Ada yang masuk menggunakan visa pelancong atau pelajar. Disebalik peluang yang diberi, ada yang mengunakan kesempatan berada dinegara ini untuk berniaga secara haram, melakukan jenayah seperti menipu, mencuri dan ada yang menjual diri. Kita harap pemantauan secara kerap dilakukan bagi memastikan masalah ‘orang luar’ ini dapat diselesaikan tanpa menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dan antarabangsa.

4. Tahun 2006 juga haruslah dijadikan landasan yang tepat bagi Kementerian Kerja Raya dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Kita tidak mahu insiden keretakan dan runtuhan binaan, jalan raya dan bangunan yang berlaku pada tahun 2005 berlaku. Kualiti binaan dan penyediaan prasarana haruslah sempurna tanpa membazirkan duit rakyat yang kebanyakkan dihabiskan untuk projek baik pulih. Konsesi penyelenggaraan Jalan Raya utama juga haruslah diperhatikan dan tidak membiarkan pemilik konsensi menaikkan kadar tol sesuka hati.

5. Kementerian kesihatan pula haruslah bersikap aktif dalam menangani isu-isu kesihatan seperti denggi dan dadah. Kita berharap agar kempen kesihatan dan amalan gaya hidup sihat dipergiatkan dengan memperbanyakkan interaksi dengan masyarakat. Kualiti perkhidmatan dan layanan kakitangan di Hospital dan Klinik Kerajaan haruslah diperbaiki dan tidak menjadikan orang awam sebagai mangsa kecuaian.

6. DPPWP juga berharap agar kementerian lain seperti Kementerian Penerangan dapat memperbaiki mutu perkhidmatan. Kita mendapati bahawa rating penonton yang menikmati saluran berimej baru RTM semakin meningkat, namun apa yang dipaparkan setiap hari terkadang mendukacitakan. Kempen – kempen menangani gejala sosial dan kempen positif lainnya sering kali dijadikan tempelan yang diselang selikan dengan hiburan tanpa sempadan beserta input filem dan drama yang bersifat kurang berimej keMalaysian. Menteri Penerangan dan Timbalannya harus melihat fenomena ini secara serius dan tidak terlalu tamak untuk bersaingan dengan stesen televisyen swasta hingga sanggup mengadaikan imej keMalaysian di kaca TV.

7. DPPWP turut berharap agar Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri mengambil tindakan serius dalam menangani isu-isu jenayah sosial dan masalah keruntuhan akhlak yang dibayangi dengan kes bunuh, rogol, pecah rumah, rompakan, black metal, ajaran sesat, dan pesta maksiat lainnya.

8. Kementerian Kesenian, Kebudayaan Dan Warisan serta Kementerian Pelancongan pula adalah aset utama negara yang menjadi peneraju kepada pelestarian citra budaya bangsa Malasia dan penjana industri pelancongan negara. Oleh itu, seharusnya kedua-dua Kementerian ini mengasimilasikan budaya asal rakyat Malaysia tanpa terlalu bergantung pada budaya luar seperti konsert artis-artis dari luar negara. Aktiviti pelancongan dan kesenian haruslah dipergiatkan tanpa menjejaskan kehidupan masyarakat tempatan.

9. Seterusnya, DPPWP juga ingin melihat satu perubahan yang positif dalam Kementerian Wilayah Persekutuan setelah Menterinya sebelum ini Tan Sri Mohd Isa Samad yang mengamalkan rasuah meletakkan jawatan. DPPWP berharap agar pembangunan infrastruktur di Wilayah Persekutuan berjalan selari dengan pembinaan kualiti hidup, pemikiran dan sikap warganya yang tidak seharusnya dibiarkan hanyut dalam kepesatan arus kotaraya.

Diperingkat Wilayah Persekutuan pula, DPPWP berharap;

1. Projek pembangunan Kg. Baru oleh YTL haruslah diperbincangkan secara teliti tanpa merugikan penduduk asal Kg. Baru. Selagi pihak Kerajaan dan YTL tidak memenuhi kehendak para penduduk, diharapkan agar tiada sebarang provokasi yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang kami khuatiri akan menyebabkan para penduduk berpecah belah.

2. Kami berharap agar pihak Kerajaan melalui DBKL dapat menaiktarafkan pasar-pasar awam seperti di Chow Kit dan Keramat agar sistem pengairan dan pembuangan sampahnya teratur dan selamat. Disamping itu, kita mahu agar tempat-tempat ini dijadikan pusat dagangan yang bersih dan dikuasai oleh rakyat tempatan.

3. Kami berharap agar isu perebutan dan pergaduhan di tapak perniagaan sementara "bazar Ramadhan" pada tahun 2005 tidak berlaku lagi pada 2006. Kami mahu ketelusan dipihak DBKL dalam mengagihkan tapak-tapak niaga tanpa adanya sindiket 'orang dalam' yang mengganggu hak rakyat yang lain.

4. Kami juga berharap agar isu perobohan kawasan setinggan diselesaikan secara baik dan DBKL harus melayan secara adil setiap kawasan perumahan setinggan yang masih ada. Bagi pembangunan Projek Perumahan Rakyat, kami berharap agar pihak DBKL memandang serius terhadap setiap aduan rakyat berkaitan aspek kemudahan dan kualiti rumah yang diberi. Rakyat sudah perit merasai pengalaman menaiki tangga puluhan tingkat kerana lif yang selalu rosak. Jangan tunggu media sampai baru nak bertindak.

Secara keseluruhanya DPPWP dan seluruh rakyat berharap agar tahun 2006 akan menjadi satu titik perubahan ke arah pembangunan dan kehidupan yang lebih baik buat semua.

Dengan itu DPPWP mengucapkan salam tahun baru kepada semua rakyat. DPPWP juga, mengesa kepada semua masyarakat muslim di negara ini agar bersolat hajat, semoga Allah memberikan rahmatnya kepada kita semua di tahun baru ini. Bagi yang bukan beragama Islam, DPPWP menyarankan agar berdoa mengikut cara masing-masing untuk kesejahteraan semua.

Salam tahun baru.
“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Thursday, December 29, 2005

Jolly Shandy: Arak lama dengan peket Alaf Baru yang mengelirukan !!

Jolly Shandy: Arak lama dengan peket Alaf Baru yang mengelirukan !!

Asslamualaikum Muslimin dan Muslimat, Semoga kita sentiasa dilindungi dan diberkati Allah s.w.t. Berhati-hati bila beli minuman terutamanya di 7-Eleven........untuk ingatan.

PERHATIAN SEMUA!!! Carlsberg baru sahaja mengeluarkan dua produk minuman tin terbarunya bernama JOLLY SHANDY berperisa LEMON dan ORANGE.Malah corak dan warna tin minuman tersebut seolah2 sama seperti tin minuman biasa F&N, PEPSI, Coca Cola, Drinho, Yeos, etc.

Apa yang membimbangkan kita semua umat Islam ialah kemungkinan ia dipasarkan secara terbuka dan meluas sehinggakan ada nanti umat Islam yang terbeli minuman tersebut. Tambahan pula perkataan "Contains alcohol" hanya di tulis kecil sahaja di belakang tin tersebut.

HARAP SEBARKAN MAKLUMAT INI UNTUK KEBAIKAN SEMUA UMAT ISLAM.................
Jolly Shandy now comes in a great new packaging that is energetic and youthful looking. Along with the original Lemon flavour, Jolly Shandy has also introduced a brand new Orange flavour. Both the Lemon and Orange flavours pack a tangy great taste as well as added Vitamin C for that refreshing feeling.

Jolly Shandy is the perfect drink for today's young and trendy who live a lifestyle by the adage 'Refreshingly Different'. Jolly Shandy Lemon & Orange flavours are available in 320ml cans nationwide.

Colour-- Golden yellowAlcohol Content-- Less than 1%Pack Size-- Can 320ml

Tuesday, December 27, 2005

XPDC Dakwah Meraikan Tahun 2006

KENYATAAN MEDIA (27 Disember 2005)

Kuala Lumpur, 27 Disember 2005 : Tsunami pada 26 Disember 2004, memberikan satu kenangan pahit buat seluruh warga rantau Asia khususnya di Malaysia ini. Tragedi yang menyayat hati ini, mengingatkan kita pada kekuasaan Allah s.w.t yang Maha Berkuasa.

Walaupun ramai yang menganggap kejadian tersebut sebagai salah satu malapetaka alam semulajadi, namun wujudnya Allah dan Kekuasaannya tidak mampu dinafikan. Dan kita memahami bahawa peristiwa hitam itu sebagai satu petanda dan peringatan dari Allah akan kecuaian manusia menjaga alam dan diri mereka sendiri. Sesungguhnya setiap apa yang kita miliki adalah anugerah dari Allah.

Justeru itu, kita juga harus faham bahawa setiap apa yang kita lakukan semalam, hari ini dan esok pasti akan dilihat dan dibalas oleh Allah. Namun, berapa kuatkah peringatan ini kepada kita semua. Berapa ramai yang masih mengingati dan menginsafi akan perkara ini atau hanya tinggal sebagai satu sejarah dibalik tabir kenangan yang berlalu.

Walaupun, telah setahun peristiwa ini berlalu, namun luka lama masih berdarah. Hati rakyat Malaysia terus diguris dengan pedih melalui penyebaran promosi Pesta Seks dan maksiat dibeberapa tempat dalam Negara seperti di Langkawi dan beberapa pusat hiburan yang menyajikan arak dan pesta hiburan melampau di sekitar ibu kota.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berasa amat kesal dengan adanya promosi melampau dikalangan pengusaha kelab dan pusat hiburan disekitar bandaraya. DPPWP berharap agar adanya pemantauan serius dipihak DBKL dan Polis Kontigen Kuala Lumpur dalam membasmi aktiviti hiburan melampau di Ibu Kota.

DPPWP juga menyedari bahawa adanya aktiviti pelacuran yang berselindung dibalik rentetan pusat-pusat perniagaan di Jalan Haji Taib dan sekitar Chow Kit. Pengedaran VCD lucah pula masih lagi berleluasa disekitar Petaling Street. Penagih-penagih dadah pula masih lagi tegar bermain dikaki lima sekitar Jalan Ipoh, Chow Kit, Keramat dan beberapa tempat lain.

Selain itu, taman-taman rekreasi seperti Taman Tasik Titiwangsa, Tasik Perdana, Tasik Permaisuri, Taman Rekreasi KLCC masih lagi menjadi pusat tumpuan kegiatan maksiat anak-anak muda yang ingin melepaskan ghairah mereka. Ada yang sekadar melepak bersama rakan-rakan, ada yang memadu kasih bersama pasangan dan ada juga segelintir dari mereka yang tanpa rasa malu, berpelukkan dan bercumbu rayu tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat sekitar.

Setelah setahun Tsunami berlalu, tiada apa yang berubah di ibu kota. DPPWP menghormati tindakan bijak Perdana Menteri yang membatalkan semua majlis keraian tahun baru pada tahun 2005 kerana menghormati kesedihan mangsa tsunami. Namun, pada kali ini kita mahu Pak Lah sebagai seorang muslim yang diberi amanah mentadbir negara ini memahami bahawa beliau juga perlu melakukan tindakkan yang sama menjelang tahun 2006 demi menghormati dan mentaati kebencian Allah pada pesta-pesta maksiat dan liar yang selalu berlaku pada musim keraian tahun baru.

Kita berharap agar, Pak Lah tidak bermain politik dalam menanggani gejala maksiat dan keruntuhan akhlak golongan belia dinegara ini. Kita tidak mahu kerana kesilapan dan kealpaan pemimpin hari ini, kita akhirnya mewariskan generasi yang punah ranah untuk menerajui negara diesok hari.

Dipihak DPPWP kita tetap dengan agenda kita sebagai pendakwah dan akan turun menziarahi belia muslim pada malam sambutan Tahun baru dengan membawa risalah keamanan dan persaudaraan kepada semua. Tanpa mengira identiti politik dan perbezaan sikap, kami mengajak semua warga kota di Wilayah Persekutuan ini untuk memberikan sokongan dan turun bersama kali pada:

Tarikh : 31 Disember 2005
Masa : 10.00 mlm – 2.00pg
Tempat : KLCC.

Modus Operandi :
10.00 mlm : Berkumpul dan taklimat di masjid KLCC.
11.00 mlm : Ziarah dan beramah mesra dengan para pengunjung di Taman Rekreasi KLCC serta mengedarkan risalah.

Kami membuka peluang dakwah ini kepada semua rakyat sama ada dari kalangan ahli PKR, UMNO, ABIM, JIM, Tabligh, Persatuan-Persatuan NGO Muslim dan sesiapa jua yang berminat. Bagi kami, tiada sempadan untuk kita batasi jalan dakwah ini. Kerana Allah kita hidup, kerana Allah kita berdakwah dan kepadaNya kita akan kembali.

Sila sebarkan maklumat ini kepada semua kenalan dan warga kota. Sebarang pertanyaan bolehlah diajukan melalui email ini : pemudawilayah@yahoo.com ataupun kunjungi : http://pemudawilayah.blogspot.com

Sekian. Wassalam


Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan