Thursday, March 09, 2006

KERAJAAN PERLU SERIUS TANGANI MASALAH SOSIAL !

Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) melihat laporan kes rogol ‘abang-adik’ yang berpunca daripada pengaruh VCD lucah sebagai suatu tragedi yang perlu ditangani secara serius oleh kerajaan dan semua pihak yang terlibat.

Image hosting by Photobucket


Tragedi ini juga perlu dilihat oleh semua pihak sebagai suatu indikator kepada usaha kerajaan dalam menangani permasalahan sosial yang berpunca daripada lambakan bahan-bahan porno dipasaran. Sewajarnya isu ini menjadi pengajaran berguna kepada semua pihak yang terlibat khususnya kerajaan agar tidak sekadar melepaskan batuk ditangga didalam usaha bagi menangani permasalahan ini.

DPPP melihat isu kegagalan ini berpunca daripada beberapa faktor seperti yang dinyatakan dibawah :

1. Kegagalan instrumen kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDN & HEP ) dalam menangani lambakan VCD lucah di pasaran. Perlaksanaan penguatkuasaan yang seringkali dibayangi dengan unsur-unsur rasuah dilihat sebagai punca utama kepada kegagalan usaha untuk membenteras pengedaran VCD lucah dipasaran.

Penguatkuasaan dilihat hanya menumpukan kepada usaha untuk membenteras operasi penjualan dan pengedaran sedangkan faktor utama yang perlu difokuskan iaitu faktor pengeluaran bahan mentah CD diabaikan. Jelas sekali di dalam hal ini kaedah pemantauan pihak kementerian terhadap operasi pengeluaran CD tidak berkesan bagi mengekang penyalahgunaannya.

2. Antara faktor yang sering digembar gemburkan berlakunya lambakan VCD lucah dipasaran ialah kerana wujudnya permintaan daripada orang ramai. Dengan menggunakan logik mudah, kerajaan bertanggapan usaha pembenterasan dapat dijayakan dengan mengurangkan permintaan. Logik ini sememangnya ada kebenaran tetapi persoalannya adakah usaha untuk mengurangkan permintaan dengan memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa buruknya kesan VCD lucah seiring dengan usaha-usaha kerajaan yang lain. Jelas sekali jawabannya tidak.

Bagaimana mungkin kesedaran dapat dipupuk dikalangan rakyat sekiranya di dalam masa yang sama faktor-faktor yang mendorong orang ramai untuk ‘mendekati’ VCD lucah masih lagi berleluasa, antaranya ialah penyiaran secara tidak terkawal filem, drama dan iklan komersil yang mempunyai unsur-unsur lucah secara melampau. Kerajaan melalui Kementerian Penerangan dilihat gagal dalam mengawal perkara ini.

3. Begitu juga kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dilihat gagal dalam mengawal penerbitan buku,majalah dan akhbar yang memaparkan cerita, berita dan grafik yang mengandungi unsur-unsur kelucahan melampau. Dengan begitu banyaknya bahan-bahan seperti ini ianya mendorong kepada permintaan VCD lucah. Peliknya kerajaan dilihat begitu tegas di dalam menangani penerbitan-penerbitan berunsur politik tetapi di dalam hal ‘penerbitan lucah’ kerajaan dilihat menutup mata sebelah.

Penegasan, Saranan dan Pandangan

Maka dengan itu DPPP menegaskan agar satu usaha yang proaktif, sistematik dan telus perlu dilakukan bagi memastikan permasalahan ini dapat ditangani dengan kadar segera. Berikut dibawah adalah antara saranan dan pandangan DPPP :

1. Penstrukturan semula KPDN & HEP perlu dilakukan agar fungsi dan peranannya dapat dimaksimumkan. Orientasinya juga perlu lebih kepada penguatkuasaan. Di dalam hal ini DPPP bertegas agar usaha penyusunan semula ini juga perlu juga diiringkan dengan usaha pembersihan KPDN&HEP daripada gejala rasuah dan campur tangan politik. Hanya dengan melalui proses ini sahaja fungsi dan peranan KPDN&HEP dapat dikembalikan kepada visi dan misinya.

2. Kegagalan Kementerian Penerangan dalam mengawal bahan-bahan siaran samada di stesen penyiar kerajaan mahupun swasta perlu ditangani secara telus. Hak penapisan kandungan bahan siaran yang diberikan kepada sesetengah stesen penyiar perlu ditarik balik. Permasalahan ini yang pernah dibangkitkan di Dewan Negara perlu dipandang serius oleh Kementerian Penerangan. Kewujudan garis panduan dan Lembaga Penapisan Filem yang dilihat gagal memainkan peranan dan fungsinya perlu dinilai semula.

3. Peningkatan penguatkuasaan hukuman perlu dilakukan. Hukuman berbentuk denda dilihat tidak mampu memberi kesedaran kepada pengedar VCD lucah. Sewajarnya kerajaan mempertimbangkan hukuman yang lebih keras.

4. Dasar langit terbuka yang menjadi amalan kerajaan perlu ditangani dengan bijak. Kewujudan laman-laman lucah perlu disekat dengan segala cara yang mungkin. Usaha ini tidak sekadar kepada kewujudan pelbagai undang-undang tetapi juga perlu diseiringkan dengan tindakan yang proaktif dengan penggunaan teknologi terkini bagi menyekat capaian ke laman web tersebut.

DPPP secara tegasnya mendesak kerajaan untuk lebih prihatin dan telus terhadap usaha untuk menangani permasalahan ini. Tragedi rogol sebagaimana yang dilaporkan sewajarnya menginsafkan kerajaan kepada realiti betapa keruntuhan moral yang berlaku di dalam negara ini berada ditahap kritikal dan kronik.

Institusi kekeluargaan yang menjadi aset kepada pembinaan masyarakat madani dilihat kini sedang melalui detik-detik kehancuran yang memilukan. DPPP juga amat yakin rentetan beberapa kejadian rogol dan bunuh yang berlaku sebelum ini sedikit sebanyak berpunca daripada permasalahan lambakan bahan-bahan lucah dipasaran. Maka dengan itu DPPP memperingatkan dengan tegas agar kerajaan tidka melihat rentetan kejadian yang berlaku sebagai suatu kes terpencil. Ianya adalah suatu tragedi yang akan menyumbang kepada musibah yang lebih dahsyat.

MAZLAN BIN ALIMAN
NAIB KETUA PEMUDA PAS PUSAT
8 SAFAR 1427 / 8 MAC 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com