Friday, March 03, 2006

Kami Mahu Pak Lah Letak Jawatan, Najib Undur, Bubar Parlimen

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan syabas kepada rakyat Malaysia yang hadir ke Demontrasi Aman Bagi Membantah Kenaikan Harga Minyak. Perhimpunan Aman ini berlangsung selepas Solat Jumaat di Masjid KLCC.

Lebih 2000 orang hadir, dari pelbagai perkumpulan parti politik seperti PAS, KeADILan, termasuk ahli Parti Gerakan. DPPWP mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak Polis yang menjaga perhimpunan ini dengan baik tanpa sebarang provokasi.

Image hosting by PhotobucketImage hosting by Photobucket
DPPWP melihat bahawa inilah bukti kemarahan rakyat seluruhnya yang terasa tertipu dengan janji-janji manis pimpinan BN. DPPWP sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 28 Februari 2006 dan menyeru agar Pak Lah segera meletak jawatan.

DPPWP memandang serius kecuaian yang dilakukan oleh Pak Lah dalam mengurus negara dan masalah umat Islam. Kesilapan Pak Lah dalam rombakan kabinetnya pada akhir bulan Februari juga mengundang kebencian rakyat. Seluruh negara menaruh pengharapan yang tinggi agar Rafidah Aziz dan S.Samy Vellu dipecat bersama Lim Keng Yaik, Noh Omar dan Zainuddin Maidin. Namun, Pak Lah masih lagi mengekalkan mereka walaupun beliau sedia mengetahui bahawa kesemua pimpinan ini memberikan banyak masalah kepada pentadbiran negara.

Pak Lah juga mengembalikan Mustapa Mohamad, Tengku Adnan dan Affendi Norwawi yang sebelum ini dibuang kerana rekod buruk mereka sebelum ini yang banyak memperjudikan hak rakyat. Rakyat benar-benar marah kerana Pak Lah meletakkan nasib negara ditangan pengkhianat negara seperti mereka.
Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Nazri Abdul Aziz turut dikekalkan walaupun makhluk ini sudah jelas tidak memberikan kebaikkan kepada Kabinet akibat kelancangan mulutnya dan sikapnya yang sentiasa memperjuangkan dasar Sekularisme dalam negara.

Negara juga menjadi tidak tenteram dengan adanya golongan anti-Islam yang cuba mencabar sistem perundangan syariah yang dipertahankan oleh umat Islam melalui akta 121 (1A). Sebelum itu mereka cuba untuk mewujudkan 'InterFaith Commission (IFC)' bagi memudahkan orang-orang bukan Islam membahaskan isu-isu umat Islam, memurtadkan umat Islam dan juga merubah dasar-dasar Islam mengikut akal semasa mereka yang berpandukan sikap liberal yang toleran tanpa batas.

Dalam hal ini, Pak Lah terus berdiam kerana anak kesayangan beliau-Nori turut menyokong penubuhan IFC bersama Bar Council. Nori juga menjadi ahli dan Pendokong Sisters In Islam yang tidak habis-habis memperjuangkan isu kesamarataan antara lelaki dan wanita. Mereka mahu hak yang sama dengan lelaki. Mereka tolak apa yang Allah telah tetapkan untuk wanita dalam Al-Quran kerana bagi mereka peraturan dalam Al-Quran adalah peraturan jumud dan tidak 'up to date'.

Image hosting by PhotobucketImage hosting by Photobucket
Setelah itu, wujud pula karikatur yang menghina Rasulullah. Apa yang menyedihkan, karikatur ini menjadi bahan gurauan beberapa media tempatan yang ghairah mempergunakan isu karikatur ini untuk meraih pembaca dan pendengarnya. NTV7, RTM ,TV3 dan NST dibiarkan bebas hanya melalui perkataan 'Maaf'.

Pak Lah dilihat memandang ringan terhadap isu ini. Bagi Pak Lah, himpunan ratusan ribu ahli UMNO memperingati jasa Dato' Onn lebih bermakna dari menghimpunkan umat Islam untuk mempertahankan Maruah Rasulullah yang dipermainkan. Kerajaan BN bangga bila kerajaan Denmark meminta Malaysia membantu Denmark untuk melobi dunia Islam untuk mendiamkan isu penghinaan Rasulullah ini. Pak Lah rela diperkudakan oleh Denmark yang dilindungi oleh US. Pak Lah gentar untuk mencabar dunia barat dan kelihatan layu dengan gertakan barat yang dipayungi oleh US.

Pada 28 Februari 2006, sekali lagi Pak Lah mengundang kebencian rakyat dengan mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen. DPPWP amat kecewa dengan sikap Pak Lah yang mengumumkan perkara ini pada lewat malam iaitu jam 10 malam 27 Februari 2006.
Image hosting by Photobucket
Pengumuman yang dibuat pada waktu malam itu langsung tidak disiarkan dalam kaca TV dan membuatkan rakyat terkejut pada keesokan harinya. Bagi DPPWP, tindakkan Pak Lah ini tidak ubah seperti seorang pencuri yang mencuri diwaktu malam secara senyap dan rakyat menjadi tuan rumah yang dirompak tanpa belas kasihan.

Kerajaan BN terus melakukan aksi kebodohan mereka dengan cuba memberikan alasan slapstik mereka dengan cuba membandingkan kenaikkan harga minyak di Malaysia dengan negara Singapura. Indonesia dan Thailand. Tapi Pak Lah dan Najib terlupa untuk jelaskan kenaikan ekonomi dan kadar gaji purata rakyat di Singapura dan Thailand.

Najib juga cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan menagih simpati, dengan harapan agar rakyat memaafkan Kerajaan BN. Alasan mengurangkan beban subsidi kerajaan dan mendesak rakyat berjimat cermat telah dipromosikan dengan meluas. Tapi mereka lupa bahawa rakyat sudah lama hidup berjimat cermat.

Apa lagi rakyat mahu jimatkan? Duit gaji memang tak cukup, pendapatan rakyat tidak sebanyak elaun Pak Lah dan Kabinetnya. Rakyat makan dikaki lima restoran, Pak Lah dan Pimpinan BN makan di Hotel 5 Bintang. Rakyat beli minyak guna duit poket sendiri. Pak Lah dan kroninya beli minyak 'claim' guna duit cukai rakyat.

Cuba Pak Lah dan Najib turunkan gaji mereka kepada RM 2000 sebulan. Rakyat nak tengok macam mana mereka nak berjimat! Minta Kabinet Pak Lah makan direstoran mamak tiap-tiap hari, bolehkah mereka tahan? Rakyat nak semua pimpinan BN naik teksi, bas dan LRT tiap hari untuk pergi bekerja, kita mahu tahu sejauh mana mereka boleh tahan?

Jangan pandai cakap sahaja, ayuh! turun bersama ikat perut dengan rakyat. Jangan pandai mengarah sahaja. Perut Pak Lah kembung kekenyangan, tapi diluar sana masih ada rakyat yang perut kembung dengan angin sahaja.

DPPWP melihat, tindakan drakonian Kerajaan BN yang menghabiskan duit rakyat dengan pelbagai program besar termasuklah majlis keraian di pejabat-pejabat kerajaan telah memberikan kesusahan pada rakyat. Pimpinan BN juga menyalahgunakan kuasa yang diberi dengan membiarkan banyak projek pembangunan negara diberikan pada syarikat kroni mereka. Akibatnya bangunan MATRADE retak, Hospital, sekolah, Jalanraya juga retak. Kos pembaikkan memakan belanja jutaan ringgit. Dan Kerajaan terus bazirkan duit rakyat untuk projek baik pulih yang tidak seberapa.

DPPWP juga melihat bahawa Pak Lah terlalu lembap untuk berfikir dan bertindak. Beliau juga membiarkan orang-orang disekelilingnya menentukan hala tuju negara. Beliau menjadi kambing hitam tua yang diikat lehernya oleh orang-orang yang berkepentingan seperti menantunya-Khairi Jamaluddin yang berhasrat untuk merampas tempat beliau.

DPPWP juga kesal dengan sikap Najib yang tidak henti-henti mempergunakan PLKN bagi memburuk-buruk PAS dan juga mereka yang menjadi mangsa kezaliman ISA. Najib juga diketahui cuba mempelbagaikan strategi bagi memastikan kejatuhan Pak Lah. Beliau cuba sedaya upaya membiarkan Pak Lah dipandang lemah oleh rakyat dan inilah langkah beliau untuk memperbodohkan Pak Lah.

Perebutan kuasa pimpinan UMNO dan BN yang berlanjutan dalam pertarungan merebut kerusi Kabinet telah mengakibatkan rakyat menjadi mangsa. Gajah bergaduh, semut yang menjadi mangsa.

Image hosting by PhotobucketImage hosting by Photobucket
Image hosting by PhotobucketImage hosting by Photobucket

DPPWP mengesa agar rakyat bangkit untuk mempertahankan hak dan periuk nasi mereka. Jangan biarkan nasib rakyat dan negara dijadikan bahan percaturan Kerajaan BN yang tidak bermaruah ini.

Ayuh! kita tuntut agar Pak Lah Letak Jawatan, Najib Undur. Kita mahu kabinet dibubarkan. Adakan Pilihanraya segera. Kita mahu SPR gam pimpinan BN yang gagal memerintah negara ini dari terus bertanding. Bagi ruang pada pimpinan lain yang lebih baik dan bersih. Pak Lah gagal mewujudkan 'Clean Goverment' kerana beliau sendiri bayak mengamalkan sikap nepotisme dan kronisme.

Turun segera, rakyat mahu reformasi. Dari Tunku Abd Rahman hinggalah Pak Lah, BN gagal melahirkan pemimpin yang memahami kehendak rakyat. Mereka semua sama sahaja. Hanya tahu menghabiskan harta rakyat.


1 Comments:

At 3:42 PM, Anonymous Anonymous said...

Loved your site jamu menyembuhkan penyakit kondiloma akuminata tanpa operasi

 

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com